Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, antara implikasi buruk yang akan berlaku adalah proses perwalian tidak sah ketika akad nikah berikutan anak perempuan luar nikah diwalikan oleh bapanya sendiri.
Kata beliau, pergaulan antara anak perempuan luar nikah dengan bapa biologi adalah seperti anak tiri dengan bapa tiri dan anak luar nikah juga tidak layak menerima harta pusaka daripada sebelah bapa biologinya.
“Atas sebab itu, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang dan membincangkan isu ini pada 1998 bukannya untuk menghukum, sebaliknya ia dibuat berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan hadis.
“Langkah bin atau binti kepada bapa biologi dengan alasan untuk menutup aib anak luar nikah tidak harus timbul kerana masyarakat sepatutnya tidak perlu memandang serong kepada anak-anak ini, yang bersalah bukan mereka tetapi ibu dan bapanya yang melakukan perbuatan zina,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Walau bagaimanapun Mohd. Tamyes berkata, hukum syarak membenarkan bayi dibin atau dibintikan kepada bapa biologi jika tempoh waktu akad nikah berlaku lebih enam bulan daripada tarikh kelahiran, berdasarkan surah al-Ahqaf ayat 15 iaitu tempoh minimum wanita mengandung adalah enam bulan manakala tempoh menyusu dua tahun.
BERITA LENGKAP DI HALAMAN BERIKUTNYA
Halaman Berikutnya

